Tuesday, May 15, 2012

Ulat tiket memalukan Pudu Sentral

Walaupun pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengatasi sepenuhnya kegiatan ulat tiket selepas projek menaik taraf Hentian Puduraya yang kini dikenali sebagai Pudu Sentral, di sini, namun ia belum menjadi kenyataan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kegiatan ulat tiket di situ bergerak aktif, tetapi dengan modus operandi lebih berhati-hati dan mendapati lebih enam ulat tiket lengkap dengan walkie-talkie cuba berurusan dengan orang ramai.

Kakitangan swasta, Razali Mokhtar, 43, berkata, beliau pernah ‘terpedaya’ dengan tawaran ulat tiket ketika ingin pulang ke Johor, baru-baru ini, menyebabkan terpaksa menunggu sehingga jam 4 petang walaupun bas dijanjikan untuk bergerak ke destinasi pada jam 2.30 petang.

Razali berkata, beliau tertarik membeli tiket selepas mengetahui tidak perlu ke TBS yang dikhususkan bagi pelepasan bas ke selatan, sebaliknya boleh menaiki bas ditawarkan ulat di Jalan Pudu. “Mereka terlalu ramai di kawasan ini, walaupun pelbagai tindakan dilakukan pihak berkuasa, namun mereka tetap menjalankan kegiatan seperti biasa. “Selepas diperdaya ulat tiket itu, saya bertekad tidak mahu lagi berurusan dengan mereka,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Danial, 24, mendakwa dia pernah ditarik secara kasar oleh ulat tiket gara-gara enggan melayannya membeli tiket. Pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awasta (IPTS) itu berkata, kebiasaannya dia terus menuju ke kaunter jualan tiket di situ, namun entah bagaimana dia melayan desakan ulat terbabit. “

Sebaik menolak secara baik, ulat terbabit terus berkelakuan agresif dengan menarik baju saya, namun mujur beberapa orang awam yang berada berdekatan memerhatikan perbuatan itu menyebabkan ulat itu melepaskan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, usaha dilaksana pihaknya tidak mampu membasmi aktiviti haram ulat tiket jika tiada kerjasama semua pihak terutama syarikat bas dan penumpang. “Kami hanya boleh mengekang dengan melaksana operasi penguatkuasaan secara berterusan, tetapi itu tidak langsung boleh membasmi kegiatan ini kerana selagi ada permintaan daripada penumpang, maka ulat terus menawarkan tiket untuk mereka,” katanya.

KOMEN AKU: 
Beli terus pada kaunter yang berdaftar dan syarikat yang berdaftar. Atau senang cerita syarikat bas yang dah 'establish' seperti SANI Ekspress, Plusliner dll.

Ulat tiket memalukan Pudu Sentral  dan merosakkan industri pelancongan negara.









 


Saya adalah blogger bagi MalaysiaBackpackers.Com dan SifuBlog.Com . Kerana minat mendalam dalam blogging saya telah menghasilkan beberapa ebook. Selain dari blog saya juga adalah usahawan printing baju di PrintingBajuOnline.Com. Masa saya banyak dihabiskan untuk blog dan aktiviti kesukarelawan

Related Posts